Aku sedang bersiap-siap untuk pergi ke kelas. Kelas pada hari
tersebut bermula pada 10 jam pagi. Sewaktu sedang memakai tudung, tiba-tiba
telefon bimbitku berdering. Aku bergegas mendapatkannya. Abang memberitahuku
bahawa ibu saudara yang menetap di Melaka telah pun meninggal dunia pada jam 7
pagi tadi. Setelah mendengar berita tersebut hatiku menjadi luluh dan sedih
kerana kehilangan ibu saudara yang agak rapat denganku. Beliau merupakan
seorang insan yang mulia dan dikenali oleh semua penduduk tamannya. Pemergian
beliau merupakan kehilangan terbesar dalam adik beradik sebelah ayahku.
Aku membuat keputusan untuk tidak hadir ke kuliah pada hari itu. Ibu
memberitahu abang supaya datang mengambilku di UPM dan segera pulang ke Melaka
untuk melihat jenazah sebelum dikebumikan. Perjalanan ke Melaka dari Kuala Lumpur
mengambil masa kira-kira satu jam setengah. Dalam pukul 3.45 petang, aku
bersama abang sulungku tiba di rumah jenazah. Kelihatan ramai tetamu, saudara
mara dan adik beradik jenazah sedang mengkerumun jenazah. Jenazah tersebut baru
sahaja selesai dimandikan. Tok bilal memanggil anak-anak untuk mencium jenazah
ibunya sebelum dikafankan. Tangisan demi tangisan bercucuran gugur jatuh ke
bumi. Aku tidak dapat membayangkan sekiranya situasi sebegini terjadi di dalam
keluargaku. Kehilangan seorang ibu diibaratkan bagai kehilangan separuh tubuh akan
tetapi kehidupan mesti diteruskan.
Setelah selesai dikafankan, jenazah tersebut disolatkan oleh Jemaah
surau yang berdekatan. Alhamdulillah majlis pengebumian selesai dilaksanakan pada
jam 5 petang. Apa yang boleh aku simpulkan daripada peristiwa ini ialah setiap
yang bernyawa pasti akan merasai mati. Sekiranya kita melakukan banyak kebaikan
sewaktu di muka bumi ini, InsyAllah ganjaran pahala akan dibalas oleh-Nya.
Malah, sekiranya banyak amalan dosa yang dilakukan atau perkara mungkar pasti
akan merasai perit balasannya di akhirat kelak.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan