Sabtu, 25 Julai 2020

MAKA NIKMAT TUHANMU YANG MANA LAGI YANG KAMU DUSTAKAN



Assalamualaikum W.B.T
Alhamdulillah, hari ini dikurniakan umur & kesihatan yang baik. InsyaAllah, pada hari yang pagi jumaat yang barokah dan penuh mulia ini saya ingin kongsikan terjemahan surah Ar-Rahman. Apakah sebenarnya maksud disebalik surah Ar-Rahman. Jika kita perhatikan di dalam surah ini, Allah S.W.T mengulangi ayat "فبأي ألائ ربكما تكذبان "  yang bermaksud nikmat manakah lagi yang kamu dustakan? Oleh itu, marilah sama-sama kita kupas terjemahan pada surah ini.
Surah Ar-Rahman  merupakan surah yang ke-55 di dalam kitab suci Al-Quran. Surah ini tergolong antara surah makiyyah yang terdiri daipada 78 bilangan ayat. Surah ini juga dinamakan Ar-Rahman yang bermaksud Yang Maha Pemurah.
Ar-Rahman adalah salah satu daripada Al Asma Ul-Husna iaitu nama-nama Allah S.W.T. Sebahagian besar dari surah ini menerangkan tentang kepemurahan Allah S.W.T terhadap hamba-hambaNya, iaitu dengan memberikan nikmat-nikmat yang tidak terhitung di dunia mahupun di akhirat kelak.
Di dalam surah ini menyatakan betapa pemurahnya Allah S.W.T kerana Allah mengajarkan manusia Al-Quran, mencipta manusia, membolehkan kita bertutur & menerima pernyataan. Allah juga berkuasa mengatur matahari & bulan beredar mengikut peraturan yang telah ditetapkan.
Pada ayat seterusnya, Allah berfirman bahawa DIA menjadikan bumi ini rata & adil untuk kegunaan manusia dan semua makhluk-Nya. Nikmat Allah jika kita lihat terdapatnyaa buah-buahan, pepohon kurma yang mempunyai kelopak mayang, bijian berjerami dan berdaun (seperti padi & gandum), dan bunga-bungaan yang harum mewangi.
Di antara keajaiban yang luar biasa dalam Al Quran, khususnya dalam surah ini adalah ayat yang berbunyi “fa biayyi aalaaa-I robbikumaa tikadzzibaan”. Yang bermaksud “Maka nikmat Tuhanmu yang mana lagi yang kamu dustakan?
Antara keutamaan Surah Ar Rahman ini adalah :
1-    Mengingatkan kepada kita bahwa Allah SWT memiliki sifat Maha pemurah.
2-    Mengingatkan kepada kita atas semua nikmatNya yang telah dan akan dianugerahkan
3-    Mengingatkan kepada kita agar tidak kufur dengan nikmat
4-    Allah redha dengan nikmat yang diberikan
5-    Memberi motivasi untuk terus semangat beribadah kepadaNya.
6-    Orang yang membaca surah Ar Rahman apabila dia meninggal dunia diibaratkan seperti mati syahid.
7-    Mendapat syafaat di hari kiamat.




INDAHNYA BANGUN TAHAJJUD



Firman Allah S.W.T yang bermaksud;
Wahai orang yang berselimut! Bangunlah untuk solat malam, kecuali sedikit sekali untuk tidur, iaitu seperdua dari waktu malam itu atau kurang sedikit daripadanya atau lebihi dari seperdua itu. Dan bacalah al-Quran dengan tartil dengan penuh perhatian, pengertian dan khusyuk.
Sesungguhnya saat-saat di waktu malam itu lenih kuat untuk khusuk. Sesungguhnya bagimu waktu siang itu cukup panjang untuk berbagai urusan atau sebutlah (iaitu ingatilah) selalu nama Tuhanmu, dan beribadatlah kepadaNya sepenuh hatimu.”
                                                                                                      Al-Muzzammil: 1-4 dan 6-8

         Solat malam seperti Tahajud adalah tawaran emas kepada setiap hambaNya untuk mendekatkan hubungan dengan Allah SWT. Walaupun tidak mudah untuk bangun ketika banyak orang sedang nyenyak tidur, waktu yang dingin, ditambah dengan kesejukan untuk berwudhuk, namun semua ini adalah nikmat agung bagi sesiapa sahaja yang sering mengerjakannya sehingga tersa rugi pula jika meninggalkan peluang berharga itu.
         Mukmin yang sering melakukan tahajud mereka akan diberikn ganjaran dunia oleh Allah SWT. Antara ganjaran-ganjaran tahajud adalah:
1)    Akan dijauhkan daripada semua penyakit
2)    Dikurniakan kesan takwa pada wajah
3)    Dikasihi oleh semua manusia
4)    Percakapan dan perbuatannya mengandungi hikmah
5)    Dikurniakan kekuatan dan rzeki yang halal dan diberkati
Manakalah ganjaran di akhirat kelak adalah:
1)    Dibangkitkan dari kubur dengan wajah yang berseri-sei
2)    Dipermudahkan urusan hisab
3)    Melalui titian sirat dengan cepat seperti kilat
4)    Diserahkan sunat amalan pada hari akhirat melalui tangan kanan.
Solat tahajud hanya dilakukan secara rutin dan istiqamah oleh orang yang mempunyai niat tulus sehingga keistimewaan solat tahajud diberikan kepada orang yang mahu dan mampu melakukan solat tahajud dengan penuh keikhlasan.

Jumaat, 24 Julai 2020

PENGAJARAN PKP



            Perintah kawalan pergerakan (PKP) merupakan arahan daripada kerajaan setelah negara kita dilanda pandemik Covid-19. Hal ini bukan menjadi alasan untuk kita semua tidak boleh melakukan hal-hal yang bermanfaat semasa berada di rumah. Sebaliknya terdapat banyak peluang yang boleh kita terokai bersama ahli keluarga terutamanya di zaman era globalisasi ini yang menggunakan teknologi maklumat.
            Jika kita lihat dari sudut pandangan positif, PKP bukanlah suatu yang menyebabkan kita terputus untuk melakukan sesuatu pekerjaan, akan tetapi terdapat banyak aplikasi yang boleh kita gunakan seperti megikuti kelas secara online bagi pelajar. Bukan sahaja akademik, malah kelas-kelas kemahiran seperti memasak, senaman, pengurusan juga boleh dikendalikan melalui atas talian.
           Umum mengetahui sektor pendidikan seperti Institusi Pengajian Tinggi dan sekolah-sekolah antara yang terjejas berikutan perintah kawalan pergerakan dilaksanakan. Namun, hal ini bukan menjadi alasan untuk tidak meneruskan proses pembeljaran seperti sedia kala. Oleh itu, Kementerian Pengajian Tinggi membenarkan semua Universti Awam dan Institusi Pengajian Tinggi Awam untuk melaksanakan pembelajaran secara online.
Antara platform yang sesuai dan boleh diguna pakai bagi tujuan pembelajaran ini Google Classroom, Edmodo, Blackboard.
          Apa yang lagi menarik adalah bagi setiap pelajar universiti kerajaan telah membekalkan internet free yang lebih dikenali dengan ‘YES’ di mana mengandungi kuota 40 gb bagi setiap pelajar tidak kira di mana mereka berada. Hal ini semestinya memudahkan para pelajar untuk menyertai kelas maya secara online. Tidak menjadi asbab untuk mereka tidak menghadiri kelas online.
        Akhir kalam, saya berharap kepada semua pelajar universiti khusunya nikmatilah kemudahan yang diberikan oleh kerajaan dengan sebaik yang mungkin. Ingatlah bahawa kita yang bakal menyambung generasi pada tahun akan datang.

PUASA RAMADHAN TANPA TERAWIH DI MASJID




Sudah menjadi kebiasaan bagi setiap umat islam apabila menjelangnya bulan ramadhan, solat terawih merupakan perkara yang mesti dilaksanakan di setiap masjid. Walaupun solat tersebut hukumnya sunat, akan tetapi Allah S.W.T memberikan ganjaran pahala yang berlipat ganda bagi sesiapa yang melaksanakannya. Seperti yang kita ketahui, bulan Ramadhan merupakan bulan yang penuh dengan keberkatan
Apa yang menyedihkan bagi aku adalah tahun 2020 ini kami tidak diberi kesempatan untuk berjemaah di masjid seperti dahulu kala ekoran daripada gejala wabak covid-19. Sebaliknya, solat Jemaah di rumah bersama keluarga akan mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan dan menguatkan lagi silaturrahim antara adik beradik serta ibu bapa. Bukan penghalang untuk kita tidak solat tetapi bijaklah mengambil peluang sebanyak yang mungkin di bulan yang mulia ini untuk melakukan amal ibadah seperti memperbanyakkan membaca dan mentadabbur Al-Quran, berzikir, menderma, dan amalan-amalan lain lagi. Bersempena dengan bulan yang mulia ini, marilah kita sama-sama berdoa dan memohon hajat kepada Allah S.W.T agar negara kita dikembalikan dalam keadaan yang baik dan sejahtera.

Khamis, 23 Julai 2020

PERINTAH KAWALAN PERGERAKAN


Sejak berlakunya kes Covid-19 baru-baru ini, penggunaan istilah pkp sering ku dengar dan diperkenalkan oleh Perdana Menteri iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin. PKP bermaksud Perintah Kawalan Pergerakan yang telah dilaksanakan untuk mengelakkan peningkatan  gejala wabak covid-19 ini bagi seluruh warga Malaysia. Perintah Kawalan pergerakan telah diumumkan oleh YAB Perdana Menteri pada 16 Mac 2020.  
Selain itu, penjarakan sosial, ataupun ‘social distancing’ adalah perkataan Bahasa Inggeris yang bermaksud  penghindaran hubungan antara masyarakat seperti berjabat tangan, duduk berdekatan, atau perhimpunan ramai. Hal ini dapat kita lihat bahawa penjagaan jarak fizikal antara satu sama lain amatlah penting untuk menghindari risiko daripada dijangkiti wabak tersebut. Secara khusunya tempat yang sering dikunjungi oleh ramai masyarakat seperti pasaraya, masjid dan perhimpunan ramai. Oleh itu, kita disarankan untuk sentiasa membasuh tangan secara sebgai langkah untuk berjaga-jaga dan mengelakkan diri daripada menyentuh muka apabila keluar dari rumah.

SHORT ESCAPE KE GENTING HIGHLAND



Jom Bercuti Ke Genting Highland! Baru-baru ini, aku meluangkan masa bersama abang dan adik pergi bercuti ke Genting Higland. Sejujurnya, aku belum pernah ke sana dan teringin sekali untuk pergi dan Alhamdulillah hasratku tercapai jua. Perjalan dari Kuala Lumpur ke Genting Highland memakan masa selama satu jam setengah. Semasa dalam perjalanan, kami berborak sambil bergelak ketawa untuk mengisi kebosanan sementara menunggu sampai ke destinasi yang sebenar. Aku dapat melihat suasana pokok hijau sepanjang jalan yang menutupi cahaya matahari dari sampai ke pintu kenderaan. Jalannya agak curam dan berbengkang-bengkok menyebabkan aku berasa agak pening.
Setelah tiba di destinasi, kami pergi menaiki cable car skyway. Kami memilih untuk membeli tiket express line berbanding biasa kerana bilangan orang pada waktu itu sangat ramai. Harga tiket agak sedikit mahal berbanding biasa. Semasa di dalam cable car, kami dapat melihat sepanjang perjalanan sedang berada dalam proses pembinaan dan pembaikan. Cuaca ketika itu agak panas tetapi apabila tiba di puncak cuaca berubah menjadi sejuk.
Seterusnya, kami meneruskan perjalanan pergi shopping di Genting Premium Outlet. Kelihatan ramai pelancong asing dari luar negara dan kebetulan pada waktu itu musim cuti persekolahan. Apa yang dapat kami perhatikan, terdapat ramai bangsa cina dan bukan Islam. Kami terpaksa berhati hati untuk memilih makanan kerana majoritinya penjual adalah bukan Islam. Dalam 30 minit kami berjalan di dalam Mall. Puncak genting Highland terdapat  taman tema yang boleh pilih sama ada indoor ataupun outdoor.  
Tepat pukul 4:00 petang, kami meneruskan perjalanan untuk pulang. Cuaca mulai mendung menandakan hujan akan turun. Sebagai langkah berjaga-jaga, kami memandu dengan berhati-hati.

Ahad, 19 Julai 2020

PENGALAMAN MENUNTUT ILMU DI MMP SEPANJANG 6 TAHUN




 Maahad Muhammadi Perempuan merupakan antara sekolah yang terkenal di negeri Kelantan di bawah Yayasan Islam Kelantan. Pada asalnya, sekalah ini dikenal sebagai Maahad Muhammadi sahaja kerana pada awalnya sekolah ini terdiri daripada kaum lelaki dan perempuan. Pada tahun 1989, Maahad Muhammadi dipisahkan menjadi Maahad Muhammadi Lelaki  yang terletak di Jalan Tok Guru manakala Maahad Muhammadi Perempuan terletak di Jalan Merbau.
Dari dudut akademik, pada awal masuk sekolah tersebut, aku agak terbeban dengan bilangan 21 subjek yang terdiri daripada subjek agama dan akademik. Bayangkan, tingkatan 1 sudah mula mempelajari ilmu Nahu, Feqah serta mula menghafal Hadis, Tafsir dan lain-lain lagi. Tetapi jika dilihat dari sudut pandangan positif, sebenarnya sangat berbaloi sebab kesemua itu kita boleh amalkan dalam kehidupan dan secara peribadi aku sendiri masih lagi ingat walaupun bukan semua pelajaran semasa berada di Tingkatan 1. Yayasan Islam Kelantan amat mementingkan kecemerlangan akhlak dan akademik. Bagi pendapat aku, aku amat terhutang budi dan menyayangi kesemua asatizah, para guru, murabbi yang banyak mencurahkan ilmu dunia dan akhirat.
Dari sudut tarbiah pula, kita dididik dengan usrah, tamrin, program Qiamullail dan akan ada Naqibah dari kalangan kakak-kakak yang akan membimbing setiap ahli kumpulan. Kebiasaanya, usrah ini akan dilakukan pada setiap hari Rabu jam 3 petang sehingga 4:30 petang.
Dari sudut bi’ah dah suasana, kita akan dilatih memakai tudung labuh serta didedahkan dengan pelbagai program keagamaan.
Apa yang penting, ingatlah pergi mana-mana sekalipun jangan pernah kita tinggalkan agama. Hakikatnya, kita membawa agama Islam di mana jua kita pergi.

RINDU AKAN SI BONGSU



Kalau nama adik beradik memang tidak sah dalam sehari tidak ada pergaduhan. Bahkan pergaduhan boleh berlaku dalam setiap hari. Ada sahaja yang tidak kena. Begitulah kisah aku dengan adik bongsu yang kini sedang menuntut ilmu di Maahad Muhammadi Perempuan.
Sewaktu cuti semester yang lepas, aku pulang ke kampung halaman untuk menghabiskan cuti semester bersama ibu dan ayah di kampung. Sementara itu, adik yang kedua telah pun pergi memasuki ke Institut Perguruan Guru di Kampus Bahasa Antarabangsa di Kuala Lumpur. Suasana di rumah mula menjadi suram kerana semua telah pun pergi menuntut ilmu. Aku tidak suka dengan suasana sedemikian. Akan tetapi aku bernasib baik kerana emak saudaraku tinggal bersama ibu bapaku di Kelantan.
            Sebelum ini, dia menetap di Cheras, Kuala lumpur selama 15 tahun. Tetapi Allah lebih menyanyangi suaminya. Dia meninggal sewaktu menghadiri majlis perkahwinan ibu bapaku. Lantaran kesunyian dan kesepian yang dihadapinya, dia membuat keputusan untuk duduk bersamaku di Kelantan. Oleh itu, aku tidak berasa kesunyian lagi kerana ada teman yang boleh berborak, mengadu masalah dan berkongsi cerita. Tempoh cuti semester berbaki 2 minggu sahaja lagi. Dia memberitahu bahawa pada hari Isnin akan datang, dia akan pulang ke Kuala Lumpur untuk menghadiri majlis pertunangan jiran sebelah rumahnya sewaktu ketika dahulu. Setelah mendengar perkhabaran tersebut, aku berasa agak berat hati dan sedih kerana tiada teman lagi di rumah nanti.
Keesokan harinya, aku meminta izin daripada ibu untuk keluar pergi ke Pejabat Pos. semasa cuti semester, aku mengambil kesempatan untuk berbisnes secara online untuk menambahkan duit poket. Tiba-tiba kedengaran telefon bimbit berbunyi. Ibu mengangkat lalu terdengar suara adikku yang memberitahu bahawa dia tidak jadi pulang ke rumah pada hari Rabu. Hari khamis masih lagi merupakan hari persekolahan. Aku meneruskan langkah lalu mencapai anak kunci kereta.

Setelah selesai melakukan urusan di Pejabat Pos, aku terus menuju ke tempat jualan tiket bas kerana pada hari jumaat aku akan pulang ke kampus. Semasa membeli tiket, tiba-tiba telefon berbunyi. Aku terus mengangkat lalu bertanya kenapa ibu menghubungiku. Rupa-rupanya dia ingin memberitahu bahawa adik bongsuku akan pulang pada petang tersebut. Dia menyuruh aku mengambilnya di stesen bas. Sementara menunggunya sampai, aku memanjangkan langkah ke pusat mebeli belah untuk membeli barang-barang keperluan.
Aku menunggunya selama 3 jam di perkarangan masjid. Aku melihat ke kiri kanan ditakuti ada bas yang berhenti dari arah belakang. Sepuluh minit kemudian aku melihat bayang adikku melalui cermin hadapan. Alangkah bahagianya aku melihat dia menggalas beg sekolahnya. Aku terus memeluknya dengan erat dan memulakan perjalanan pulang ke rumah.

Sabtu, 18 Julai 2020

MENDAPAT PANGGILAN DARI IBU


Aku sedang bersiap-siap untuk pergi ke kelas. Kelas pada hari tersebut bermula pada 10 jam pagi. Sewaktu sedang memakai tudung, tiba-tiba telefon bimbitku berdering. Aku bergegas mendapatkannya. Abang memberitahuku bahawa ibu saudara yang menetap di Melaka telah pun meninggal dunia pada jam 7 pagi tadi. Setelah mendengar berita tersebut hatiku menjadi luluh dan sedih kerana kehilangan ibu saudara yang agak rapat denganku. Beliau merupakan seorang insan yang mulia dan dikenali oleh semua penduduk tamannya. Pemergian beliau merupakan kehilangan terbesar dalam adik beradik sebelah ayahku.
Aku membuat keputusan untuk tidak hadir ke kuliah pada hari itu. Ibu memberitahu abang supaya datang mengambilku di UPM dan segera pulang ke Melaka untuk melihat jenazah sebelum dikebumikan. Perjalanan ke Melaka dari Kuala Lumpur mengambil masa kira-kira satu jam setengah. Dalam pukul 3.45 petang, aku bersama abang sulungku tiba di rumah jenazah. Kelihatan ramai tetamu, saudara mara dan adik beradik jenazah sedang mengkerumun jenazah. Jenazah tersebut baru sahaja selesai dimandikan. Tok bilal memanggil anak-anak untuk mencium jenazah ibunya sebelum dikafankan. Tangisan demi tangisan bercucuran gugur jatuh ke bumi. Aku tidak dapat membayangkan sekiranya situasi sebegini terjadi di dalam keluargaku. Kehilangan seorang ibu diibaratkan bagai kehilangan separuh tubuh akan tetapi kehidupan mesti diteruskan.
Setelah selesai dikafankan, jenazah tersebut disolatkan oleh Jemaah surau yang berdekatan. Alhamdulillah majlis pengebumian selesai dilaksanakan pada jam 5 petang. Apa yang boleh aku simpulkan daripada peristiwa ini ialah setiap yang bernyawa pasti akan merasai mati. Sekiranya kita melakukan banyak kebaikan sewaktu di muka bumi ini, InsyAllah ganjaran pahala akan dibalas oleh-Nya. Malah, sekiranya banyak amalan dosa yang dilakukan atau perkara mungkar pasti akan merasai perit balasannya di akhirat kelak.

KEMATIAN ITU SESUATU YANG PASTI



Kematian adalah pengakhiran sebuah kehidupan. Kematian akan menghampiri semua manusia dan seluruh hamba Allah. Tidak ada yang mampu menolak atau menundanya walau sedetik Cuma tidak ada sesuatu yang kekal di dunia ini. Itulah hakikatnya!
Kebelakangan ini, sering meniti dari bibir ke bibir tentang kematian seseorang. Tidak kira sama ada tua ataupun muda, kaya ataupun miskin. Kematian itu sesuatu yang pasti. Allah S.W.T ada berfirman di dalam Al-Quran.
Allah berfirman:
كُلُّ نَفْسٍ ذَآئِقَةُ الْمَوْتِ وَإِنَّمَا تُوَفَّوْنَ أُجُورَكُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ فَمَن زُحْزِحَ عَنِ النَّارِ وَأُدْخِلَ الْجَنَّةَ فَقَدْ فَازَ وَما الْحَيَاةُ الدُّنْيَا إِلاَّ مَتَاعُ الْغُرُورِ
“Setiap jiwa pasti akan merasakan mati. Dan sesungguhnya pada hari Kiamat sahajalah disempurnakan pahalamu. Barangsiapa yang dijauhkan dari Neraka dan dimasukkan ke dalam Syurga, maka sungguh dia telah berjaya. Kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdaya” (ali-Imran 3: ayat 185)
Di dalam surah ini, Allah S.W.T menjelaskan bahawa setiap yang bernyawa pasti akan merasai mati. Justeru, sebagai makhluk Allah yang diberikan akal dan keistimewaan dalam menjalani kehidupan untuk mencapai redha Allah, kita mestilah mentaati segala perintah-Nya dan menjahi segala larangan-Nya. Jadi sudahkah anda bersedia ?

FENOMENA MUKBANG



Sepertimana yang kita ketahui, mukbang berasal dari negara Korea. Mukbang ini terkenal sejak tahun 2010 lagi. Walaupun sekarang sudah menghampiri 2020, mukbang masih lagi terkenal di negara Malaysia. Mukbang biasanya dilakukan secara siaran langsung di Instagram atau di Youtube yang dipersembahkan oleh orang yang berpengaruh atau youtuber yang terkenal. Mereka akan menyajikan pelbagai jenis makanan dan menghabiskannya dalam kuantiti yang banyak. Kebiasaanya, mereka akan memberikan komen terhadap makanan yang telah dimakan.
Antara youtuber atau mukbanger yang terkenal adalah Isaac Osman, Sheedot, Baby tora-tora dan ramai lagi artis yang lain. Mereka semua mempunyai follower dan subscribers yang sangat ramai. Apa yang menariknya video mukbang ini? Mereka menggunakan video ASMR. ASMR adalah singkatan Bahasa Inggeris yang bermaksud Autonomous Sensory Meridian Response. Ia juga merupakan satu teknik untuk merangsang telinga dan otak bagi menenangkan anggota badan. ASMR adalah video yang menggunakan suara berulang kali seperti bunyi mengunyah makanan dan meneguk air. Mereka juga akan menggunakan mikrofon sebagai alat untuk meningkatkan lagi bunyi makanan tersebut. Mukbang tidak tertumpu kepada makanan mewah sahaja, tetapi terdapat pelbagai jenis makanan yang boleh dijadikan dalam penghasilan sesuatu video.
Melalui hasil tinjauan dan pemerhatian, didapati  bahawa video mukbang ini sering mendapat perhatian yang lebih dan menjadi tarikan dalam kalangan remaja dan dewasa seawal usia belasan tahun. Hal ini kerana golongan yang berusia 40 tahun dan ke atas didapati tidak berminat dengan video mukbang sebegini. Tinjauan juga mendapati bahwa individu yang gemar menonton video mukbang ini adalah bertujuan untuk mengisi masa lapang mereka atau sekadar suka-suka sahaja.

Khamis, 16 Julai 2020

KE MANA HILANGNYA PERASAAN HORMAT TERHADAP GURU




Baru-baru ini tular di media sosial mengenai kes seorang ibu menghukum seorang guru kerana mendakwa bahawa anaknya didenda merangkak mengelilingi kelas kerana tidak menyiapkan kerja sekolah. Kes ini mendapat perhatian ramai ekoran daripada sikap ibu bapa murid yang bertindak melulu akibat perasaan marah kerana guru tersebut mengenakan denda sebegitu terhadap anaknya.
Tujuan saya menulis blog ini adalah bertujuan untuk berkongsi pandangan mengenai isu tersebut. Saya berpendapat bahawa tindakan ibu murid tersebut adalah tidak wajar. Sebagai seorang ibu, kita mungkin akan merasakan hal yang sama seperti ibu murid berkenaan. Walau bagaimanapun, sekiranya ibu bapa tidak berpuas hati adalah lebih baik jika mereka melaporkan hal tersebut terus kepada pihak sekolah daripada menyebarkannya di media sosial kerana ia hanya akan mengaibkan guru tersebut.
Seperti yang kita ketahui, guru merupakan insan yang telah banyak berjasa terhadap anak bangsa. Mereka telah bersusah payah mengajar dan mencurahkan ilmu tanpa mengira penat lelah. Kerjaya seorang guru merupakan sesuatu yang patut dimuliakan kerana tanpa warga pendidik, kita tidak berupaya untuk menghasilkan masyarakat yang berilmu. Pada hakikatnya, para guru merupakan insan yang lebih banyak meluangkan masa bersama anak-anak bagi mendidik mereka dalam usaha melahirkan individu yang berkemahiran dalam segenap aspek.
Namun, hari demi hari profesyen keguruan semakin dipandang rendah oleh masyarakat kita. Guru tidak lagi menjadi kebanggaan masyarakat. Padahal mereka telah bersusah payah membentuk insan yang berguna buat nusa bangsa. Saya berasa terkilan dengan sikap segelintir ibu bapa yang tidak bertanggungjawab kerana meletakkan kesalahan sepenuhnya terhadap guru. Seperti yang dapat kita lihat, apabila anak-anak didenda ada sahaja ibu bapa yang ingin mengenakan saman terhadap guru.
Bagi menyimpulkan perkara di atas, saya berharap agar setiap individu mampu berfikir dengan lebih rasional dalam setiap perkara yang dilakukan sebelum mengambil tindakan.   


Baru-baru ini tular di media sosial mengenai kes seorang ibu menghukum seorang guru kerana mendakwa bahawa anaknya didenda merangkak mengelilingi kelas kerana tidak menyiapkan kerja sekolah. Kes ini mendapat perhatian ramai ekoran daripada sikap ibu bapa murid yang bertindak melulu akibat perasaan marah kerana guru tersebut mengenakan denda sebegitu terhadap anaknya.
Tujuan saya menulis blog ini adalah bertujuan untuk berkongsi pandangan mengenai isu tersebut. Saya berpendapat bahawa tindakan ibu murid tersebut adalah tidak wajar. Sebagai seorang ibu, kita mungkin akan merasakan hal yang sama seperti ibu murid berkenaan. Walau bagaimanapun, sekiranya ibu bapa tidak berpuas hati adalah lebih baik jika mereka melaporkan hal tersebut terus kepada pihak sekolah daripada menyebarkannya di media sosial kerana ia hanya akan mengaibkan guru tersebut.
Seperti yang kita ketahui, guru merupakan insan yang telah banyak berjasa terhadap anak bangsa. Mereka telah bersusah payah mengajar dan mencurahkan ilmu tanpa mengira penat lelah. Kerjaya seorang guru merupakan sesuatu yang patut dimuliakan kerana tanpa warga pendidik, kita tidak berupaya untuk menghasilkan masyarakat yang berilmu. Pada hakikatnya, para guru merupakan insan yang lebih banyak meluangkan masa bersama anak-anak bagi mendidik mereka dalam usaha melahirkan individu yang berkemahiran dalam segenap aspek.
Namun, hari demi hari profesyen keguruan semakin dipandang rendah oleh masyarakat kita. Guru tidak lagi menjadi kebanggaan masyarakat. Padahal mereka telah bersusah payah membentuk insan yang berguna buat nusa bangsa. Saya berasa terkilan dengan sikap segelintir ibu bapa yang tidak bertanggungjawab kerana meletakkan kesalahan sepenuhnya terhadap guru. Seperti yang dapat kita lihat, apabila anak-anak didenda ada sahaja ibu bapa yang ingin mengenakan saman terhadap guru.
Bagi menyimpulkan perkara di atas, saya berharap agar setiap individu mampu berfikir dengan lebih rasional dalam setiap perkara yang dilakukan sebelum mengambil tindakan.  

BUAT KALI PERTAMA KE BUMI INDONESIA



Sepanjang empat semester aku belajar di UPM, kalini merupakan kali pertama aku mengikuti program Muktamar ITHLA VII atau juga dikenali sebagai Persatuan Mahasiswa Bahasa Arab Se Indonesia. Program tersebut dianjurkan oleh persatuan mahasiswa Indonesia yang diadakan pada setiap tahun. Antara universiti-universiti yang terlibat adalah semua universiti di Indoneisa dan tiga buah universiti di Malaysia. UPM merupakan salah satu universiti yang menghantar peserta seramai 12 orang. Kebiasaannya, pihak Wazan memberikan peruntukan untuk pelajar yang akan menyertai mana-mana program. Alhamdulillah, kami mendapat RM 400 bagi setiap individu. Kami hanya perlu membayar yang perlu sahaja.
Setibanya aku di lapangan terbang Soekarna Hatta, kelihatan ramai pelancong dari pelbagai negara sedang menunggu di kaunter imegresen. Kami disambut baik oleh petugas program. Buat kali pertamanya aku menaiki ‘angkot’ untuk ke tempat program. Sepanjang perjalanan, aku dapat melihat cara dan gaya hidup negara jiran. Kami dibawa melancong ke Monumen Nasional yang juga dikenali dengan Monas atau Tugu Monas. Menara ini adalah monumen peringatan setinggi 132 meter (433 kaki) yang didirikan untuk mengenang perlawanan dan perjuangan rakyat Indonesia untuk merebut kemerdekaan dari pemerintahan kolonial Hindia Belanda. Seterusnya, kami dibawa ke tempat pusat membeli belah di Tenabang. Bagi aku, pusat membeli belah di sana tidak setanding dengan negara Malaysia.

Apa yang aku perolehi sepanjang mengikuti program tersebut, aku dapat menyimpulkan bahawa orang Indonesia agak tidak menitikberatkan tentang kebersihan dan mereka juga tidak menepati masa. Jalan raya mereka agak sesak dipenuhi dengan kereta dan motor. Sangkaan aku selama ini agak berbeza kerana aku beranggapan bahawa pergi melancong ke negara ini adalah sesuatu yang seronok malah sebaliknya. Terdapat banyak perbezaan antara Malaysia dan Indonesia. Kini, aku berbangga menjadi rakyat Malaysia yang terkenal di seluruh dunia.

PENGALAMAN MEMASUKI KULIAH BBK



Assalamualaikum W.B.T. InsyaAllah pada kali ini aku ingin berkongsi serba sedikit tentang pengalaman aku semasa mengikut kuliah BBK 2022 iaitu Penglahiran Bakat kreatif. Kursus BBK ini merupakan subjek teras universiti di mana setiap pelajar wajib mempelajarinya. Sebelum pergi dengan lebih lanjut, izinkan aku untuk memperkenalkan diri. Nama diberi Nur Najihah bt Mohd Zaid. Aku merupakan pelajar Tahun 2 jurusan Bacelor Sastera Pengkhususan Bahasa Arab. Semester kali ini agak kian mencabar kerana terdapat subjek BBK di mana ia nya memerlukan kreativiti dari segi pemikiran dan cara mengolah idea bagi menghasilkan penulisan yang kreatif.
Kuliah tersebut akan dipelajari pada setiap hari Rabu pada jam 9 pagi sehingga 12 tengah hari berlanjutan sehingga ke akhir semester. Pada hari pertama menjejakkan kaki ke kuliah tersebut, pelbagai perasaan timbul menerpa dia dalam fikiran. Adakah subjek yang akan ku pelajari ini hanya bersifat teori atau untuk mencungkil bakat-bakat yang ada dalam diri setiap pelajar? Adakah ianya bersifat amali? Rupa-rupanya persoalan itu telah terjawab setelah diberikan pencerahan serba sedikit mengenai kurus ini oleh Profesor. Dr Kamariah Mahmud. Beliau merupakan pensyarah yang cemerlang dalam Bidang Bahasa Melayu serta banyak memenangi anugerah dan pencapaian yang terbaik dalam menghasilkan penulisan bidang karya sasteranya.
Beberapa jam kemudian, beliau memberitahu serba sedikit tentang subjek yang akan dipelajari oleh kami. Sepanjang mempelajari subjek ini selama 14 minggu, aku dikehendaki untuk menyiapkan tugasan iaitu menghasilkan karya sendiri 5 buah sajak dan 2 buah cerpen berdasarkan tema yang telah diberikan. Hal ini agak mencabar kerana aku tidak pernah menghasilkan sajak atau cerpen sebelum ini. Bidangku hanyalah fokus kepada Bahasa arab. Tapi apasalahnya jika kita berusaha pasti akan ada hasilnya. Bak kata pepatah, “di mana ada kemahuan di situ ada jalan.” Aku sentiasa berpegang teguh dengan kata-kata ini. Bagi aku ketrampilan menulis itu datangnya daripada latihan yang berterusan bukan diwarisi apatah lagi turun dari langit.
Aku begitu kagum dengan kehebatan yang dimiliki oleh beliau kerana untuk menjadi seorang pengarang bukanlah senang. Beliau menitikberatkan tentang menepati masa. Pensyarah yang ditaklifkan untuk mengajar subjek ini bukannya calang-calang orang. Beliau merupakan seorang penulis buku serta banyak memenangi anugerah . Beliau juga banyak  menghasilkan karyanya sendiri seperti cerpen, sajak, novel dan lain-lain lagi.
Akhir sekali, aku berharap agar dapat mencungkil bakat dalam menghasilkan penulisan yang kreatif dan memanfaatkan dengan sebaik yang mungkin sewaktu mempelajari subjek ini.

MAKA NIKMAT TUHANMU YANG MANA LAGI YANG KAMU DUSTAKAN

Assalamualaikum W.B.T Alhamdulillah, hari ini dikurniakan umur & kesihatan yang baik. InsyaAllah, pada hari yang pagi jumaat yang...