Kalau nama adik beradik memang tidak sah
dalam sehari tidak ada pergaduhan. Bahkan pergaduhan boleh berlaku dalam setiap
hari. Ada sahaja yang tidak kena. Begitulah kisah aku dengan adik bongsu yang
kini sedang menuntut ilmu di Maahad Muhammadi Perempuan.
Sewaktu cuti semester yang lepas, aku
pulang ke kampung halaman untuk menghabiskan cuti semester bersama ibu dan ayah
di kampung. Sementara itu, adik yang kedua telah pun pergi memasuki ke Institut
Perguruan Guru di Kampus Bahasa Antarabangsa di Kuala Lumpur. Suasana di rumah
mula menjadi suram kerana semua telah pun pergi menuntut ilmu. Aku tidak suka
dengan suasana sedemikian. Akan tetapi aku bernasib baik kerana emak saudaraku
tinggal bersama ibu bapaku di Kelantan.
Sebelum
ini, dia menetap di Cheras, Kuala lumpur selama 15 tahun. Tetapi Allah lebih
menyanyangi suaminya. Dia meninggal sewaktu menghadiri majlis perkahwinan ibu
bapaku. Lantaran kesunyian dan kesepian yang dihadapinya, dia membuat keputusan
untuk duduk bersamaku di Kelantan. Oleh itu, aku tidak berasa kesunyian lagi
kerana ada teman yang boleh berborak, mengadu masalah dan berkongsi cerita.
Tempoh cuti semester berbaki 2 minggu sahaja lagi. Dia memberitahu bahawa pada
hari Isnin akan datang, dia akan pulang ke Kuala Lumpur untuk menghadiri majlis
pertunangan jiran sebelah rumahnya sewaktu ketika dahulu. Setelah mendengar
perkhabaran tersebut, aku berasa agak berat hati dan sedih kerana tiada teman
lagi di rumah nanti.
Keesokan harinya, aku meminta izin daripada
ibu untuk keluar pergi ke Pejabat Pos. semasa cuti semester, aku mengambil
kesempatan untuk berbisnes secara online untuk menambahkan duit poket. Tiba-tiba
kedengaran telefon bimbit berbunyi. Ibu mengangkat lalu terdengar suara adikku
yang memberitahu bahawa dia tidak jadi pulang ke rumah pada hari Rabu. Hari
khamis masih lagi merupakan hari persekolahan. Aku meneruskan langkah lalu
mencapai anak kunci kereta.
Setelah selesai melakukan urusan di Pejabat
Pos, aku terus menuju ke tempat jualan tiket bas kerana pada hari jumaat aku akan
pulang ke kampus. Semasa membeli tiket, tiba-tiba telefon berbunyi. Aku terus
mengangkat lalu bertanya kenapa ibu menghubungiku. Rupa-rupanya dia ingin
memberitahu bahawa adik bongsuku akan pulang pada petang tersebut. Dia menyuruh
aku mengambilnya di stesen bas. Sementara menunggunya sampai, aku memanjangkan
langkah ke pusat mebeli belah untuk membeli barang-barang keperluan.
Aku menunggunya selama 3 jam di perkarangan
masjid. Aku melihat ke kiri kanan ditakuti ada bas yang berhenti dari arah
belakang. Sepuluh minit kemudian aku melihat bayang adikku melalui cermin
hadapan. Alangkah bahagianya aku melihat dia menggalas beg sekolahnya. Aku
terus memeluknya dengan erat dan memulakan perjalanan pulang ke rumah.